Beranikah Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghukum ahli parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Nordin seperti didesak pimpinan lain parti itu?

Pasti ianya sesuatu yang amat menarik dan ditunggu-tunggu banyak pihak selain tidak sabar-sabar menanti perbicaraan pertuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang itu.

Berdasarkan kenyataan Anwar, timbalan presiden , Dr Syed Husin Ali dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Zaid Ibrahim, nampak macam Zulkifli sudah boleh agak apa hukuman bakal diterima kerana membuat laporan terhadap ahli parlimen PAS, Khalid Samad dalam isu Kalimah Allah.

Ikut kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, MPT parti itu akan bermesyuarat esok bagi memutuskan tindakan yang akan dikenakan terhadap Zulkifli.

Anwar sendiri pada Ahad menyatakan Zulkifli akan menghadapi tindakan disiplin oleh parti kerana sering melakukan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan di dalam dan luar parti.

Beliau juga melabelkan Zulklifi sebagai angkuh dan tidak menghormati pandangan pihak lain.

Bagi Syed Husin pula, isu membabitkan Zulkili dan Khalid secara sengaja atau tidak sengaja, telah membantu UMNO.

Zaid pula mahu parti lebih serius ambil tindakan terhadap Zulkifli dengan alasan tidak boleh terima wakil rakyat yang sering membuat perkara yang merugikan parti dan mengelirukan orang Islam dan bukan Islam.

Tidak boleh dinafikan, pimpinan tertinggi PKR terpaksa membuat keputusan terhadap Zulkifli demi maruah parti dan menjaga hati segelintir hati pemimpin PAS yang dilihat lebih menyokong Anwar.

Sekaligus, isu ini disifatkan paling meruncing selain kejutan apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hilang kepercayaan jawatankuasa di cabang PKR Kuala Selangor.

Dalam pada itu, Zulkifli awal-awal lagi menjelaskan bersedia menerima tindakan oleh parti ekoran laporan polis terhadap Khalid pada petang Sabtu.

Sebagai peguam, beliau tahu kesan tindakannya itu.

Sekaligus senikata lagu berjodol ‘Ikan di laut, asam di darat’ dendangan A.Talib dan Norlela Nasir yang antara lain lirinya berbunyi, “ Kalau takut di lambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” amat sesuai buat Zulkifli.

Perlu diketahui, beliau sebelum ini adalah pemimpin PAS dan bertanding tiket PKR pada pilihan raya umum lalu.

Jika PKR bertindak memecatnya, Zulkifli boleh kembali bersama PAS. Atau jika tidak diterima, beliau boleh menjadi ahli parlimen Bebas bersama Datuk Ibrahim Ali dari Pasir Mas.

Namun, lupakan soal itu kerana perkara lebih penting, beranikah Anwar mahupun PKR mengambil tindakan terhadap Zulkifli yang bertegas dengan pendiriannya mengenai isu Kalimah Allah?

Zulkifli mempertahankan tindakannya melaporkan Khalid kepada polis kerana Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988 melarang penggunaan nama Allah itu adalah undang-undang yang sah dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Selangor mengikut peruntukkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi blognya, beliau menjelaskan bahawa Sultan Selangor sudah pun bertitah mengharamkan penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam didalam negeri Selangor Darul Ehsan dan tindakan Khalid jelas membelakangkan perkara tersebut.

Malah, beliau mendakwa kenyataan Khalid ternyata bercanggah dengan Dasar Pakatan Rakyat yang diisytihar semasa Konvensyen Khas Pakatan Rakyat pada 19 Disember 2009 dan ditandatangani oleh Anwar, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Hadi Awang.

Dasar itu menegaskan bahawa, "Pakatan Rakyat akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam bagi agama Persekutuan dan agama lain boleh di amalkan dengan aman dan damai; dan mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berpelembagaan".

Maka apa jua keputusan atau tindakan PKR terhadap Zulkifli nanti akan menggambarkan pendirian parti itu berhubung isu tersebut.

Sebarang hukuman oleh PKR nanti yang dilihat orang ramai sebagai satu penganiayaan terhadap Zulkifli yang memperjuangkan Islam, sudah tentu memberi kesan negatif kepada Anwar dan partinya itu.

Menariknya dalam lagu sama, ada lirik “Kalau hati tidak tertahan, di dalam air badan berpeluh,”.

Apakah Anwar kini berdepan keadaan itu dalam menentukan tindakan terhadap Zulkfli? Ataupun Anwar boleh jadikan Zulkfili 'kambing hitam' modal terbaru mengalih isu kes dakwaan liwatnya 2 Februari depan.

Apapun hanya Zulkifli sendiri yang boleh menjawab persoalan ini samada mahu kekal di dalam Pakatan Rakyat yang nampaknya telah terpesong jauh dari matlamat asal. Bersediakan Zulfifli untuk menyertai BN atau terus menjadi Ahli Perlimen bebas.