Sep 1, 2011

Nasihat Ridhuan Tee Abdullah

Pada 5 Ogos 2011, saya telah menulis satu artikel dalam blog saya, http://ridhuantee.blogspot.com, bertajuk “Awasi dakyah Kristian”. Kisah benar bagaimana perancangan Kristian memurtadkan orang Melayu Islam ketika mereka masih kanak-kanak lagi. Namun, tidak ramai ambil pusing, sehinggalah berita ini diperbesarkan oleh sebuah akhbar yang dituduh oleh ultra kiasu sebagai akhbar rasis atau ultra Melayu. Akhbar ultra kiasu tidak kurang juga ultranya, tetapi mereka tidak pernah disalahkan, maklumlah sekapal.

Artikel ini pada mulanya saya tulis untuk akhbar ‘ultra Melayu’ tersebut untuk siaran 7 Ogos 2011, kerana ketika itu isunya masih panas, berkaitan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Damansara Utama. Malangnya, ia tidak disiarkan. Mungkin editor akhbar itu menganggap saya mereka-reka cerita ataupun editornya mungkin takut untuk menyiarkannya. Saya berterima kasih kepada akhbar Sinar Harian kerana begitu neutral dan berani menyiarkan setiap penulisan saya walaupun ada akhbar lain yang berasa kecut.

Cikgu S yang dimaksudkan itu adalah sahabat karib saya, seorang guru bahasa, berbangsa India beragama Kristian yang mengajar di salah sebuah sekolah rendah di Lembah Kelang. Kami sering berhubung dan bertukar-tukar pandangan mengenai agama. Beliau amat menghormati agama Islam. Seperti telah saya sebutkan dalam artikel itu, beliaulah yang memberikan segala bukti bagaimana seorang kanak-kanak darjah satu diajar oleh guru tuisyennya mengenai Kristian dan Nabi Isa. Kanak-kanak lebih memahami Kristian daripada Islam.

Beliau mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi tidak ramai ambil berat sehinggalah berita tersebut disensasikan oleh media. Terfikir juga saya, siapa sebenarnya bertanggungjawab menjaga kepentingan Islam, orang Islam atau orang bukan Islam? Kita hanya sensitif bila isu menjadi sensasi. Maklumlah mahu mencari publisiti. Sedarkah kita akan implikasi ke atas Islam jika ramai yang murtad? Terus-terang, saya amat jarang jumpa non-Muslim yang amat prihatin dengan orang Melayu dan agama Islam. Beliau seolah-olah sudah Islam di sisi Allah SWT. Tertanya-tanya juga dalam diri, kenapa tidak ramai orang Islam seperti beliau.

Saya yakin selepas ini jika identiti beliau didedahkan, beliau akan menjadi sasaran bukan Islam, terutama orang Kristian. Saya berdoa kepada Allah SWT, semoga beliau tabah dan kehidupannya diberkati. Saya sebenarnya tidak mahu bersangka buruk kepada orang Kristian. Tetapi realiti yang berlaku, membenarkan sangkaan buruk saya ini. Missionari Kristian bergerak aktif dalam segala aspek. Mereka akan mengambil kesempatan, ruang dan peluang untuk menyebarkan agamanya kepada orang Melayu (Islam), walaupun dilarang oleh undang-undang. Namun, atas alasan hak asasi manusia dan mendapat perlindungan antarabangsa, mereka nampak kebal dan tetap meneruskan niat mencabar kedudukan agama Islam. Sedihnya, kita terlalu berlembut. Sedangkan kita semua tahu, agama Islam tidak boleh disamaratakan dengan agama bukan Islam. Kita boleh berkongsi nilai-nilai baik agama-agama, tetapi kita tidak boleh berkongsi agama, kerana bagi kamu agamamu, bagi aku, agamaku. Itulah ingatan Allah dalam surah al-Kafiruun, Lagipun, Islam mendapat perlindungan dalam Perlembagaan. Sila rujuk perkara Perkara 8, iaitu persamaan dan hak sama rata dan pengecualian peruntukan ini dalam soal agama, kedudukan istimewa Melayu dan seumpamanya.

Perkara 10 (4), iaitu batasan hak kebebasan bersuara daripada menyentuh kedudukan Raja-Raja, Islam, orang Melayu, kewarganegaraan dan seumpamanya. Perkara 38, iaitu kuasa Majlis Raja-Raja menghalang Parlimen membuat undang-undang yang menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu, bahasa Melayu dan Islam. Perkara 150 (6a), iaitu kedudukan agama Islam, adat istiadat Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, kewarganegaraan meskipun dalam keadaan darurat. Perkara lain yang berkaitan dengan kedudukan Agama Islam ialah: Perkara 11 (4) - tentang kebatasan kebebasan agama orang Islam. Perkara 12 (2) - peranan Persekutuan dan suatu negeri dalam memajukan pendidikan Islam.

Sedarlah wahai saudaraku, orang Melayu akan hancur tanpa Islam. Islamlah yang memartabatkan orang Melayu selama ini. Justeru, janganlah hari ini kita terlalu sombong dan bongkak sehingga menjadi sukar untuk menjaga kepentingan Islam. Islam tidak akan tercabut walaupun mungkin sesuatu bangsa itu mungkin pupus. Islam mendapat jagaan Allah, tetapi kuasa dan takhta belum tentu.

No comments: