Aug 2, 2011

Ap itu PAP dan DAP?

HM ingin meneruskan lagi penerangan mengenai PAP yang juga diwarisi oleh DAP. Lihat sahajalah apa yang terjadi di Pulau Pinang. Apa jadi pada Melayu dan Islam?. Apakah bangsa Melayu PAS dan PKR tidak kisah dipinggirkan suatu hari nanti?


Ikuti penerangan ini yang boleh kita semua jadikan pengajaran.


Peminggiran Melayu di Singapura bermula sebaik sahaja Parti Tindakan Rakyat atau PAP berkuasa di pulau sekangkang kera itu. Kita perlu melihat perjalanan sejarah pulau Singapura untuk melihat bagaimana PAP yang diketuai oleh Lee Kuan Yew meminggirkan Melayu secara fizikal dan secara penghapusan sejarah.


Rekod terawal mengenai kewujudan Singapura terkandung dalam catatan sejarah negara China pada kurun ke-3. Singapura atau Temasik adalah sebahagian daripada jajahan empayar Srivijaya yang bertapak di Sumatera. Temasik merupakan sebuah perkampungan tepi laut yang menjadi tempat persinggahan bahtera-bahtera China dan dari benua kecil India dan Asia Barat.

Nama Singapura diambil dari dua perkataan Melayu yang berasal dari bahasa Sanskrit iaitu singa (simha dlm Sanskrit) dan pura (asal Sanskrit) yang bermaksud kota atau bandar singa. Ia dikaitkan dengan Sang Nila Utama yang menurut hikayat Sejarah Melayu menghadapi ribut besar semasa dalam pelayaran. Keadaan ribut tiba-tiba reda apabila Sang Nila Utama mencampakkan mahkotanya ke dalam laut. Selepas itu, Sang Nila Utama mencari daratan terdekat untuk mendarat dan pulau Temasik adalah tempatnya. Menurut hikayat itu lagi, haiwan pertama yang dilihatnya ialah seekor singa dan dia terus menamakan Temasik sebagai Singapura.


Nukilan sejarah yang terkandung dalam naskhah China dan Sejarah Melayu telah diketepikan oleh Kuan Yew kerana dia mahukan sejarah Singapura dimulakan selepas kehadiran Stamford Raffles. Tindakan Kuan Yew dan PAP ini merupakan permulaan peminggiran Melayu dalam bentuk sejarah di Singapura kerana peranan dan sumbangan kerajaan Melayu sebelum itu, termasuk Johor-Riau, tidak mahu diulangi kerana ia memperlihatkan kebesaran dan pengaruh Melayu.


Pada lewat tahun 1818, Lord Hastings, Gabenor-Jeneral di India yang turut berkuasa ke atas tanah jajahan sebelah timur India, memberi kebenaran kepada Raffles untuk membuka sebuah stesen dagangan di hujung Semenanjung Tanah Melayu dan pulau Singapura menjadi pilihan. Pada 29 Januari 1819 Raffles mendarat di Singapura dan keesokan harinya membuat perjanjian dengan Temenggong, wakil Sultan Johor, untuk membuka pos atau stesen dagangan. Pada 6 Februari 1819, satu perjanjian rasmi dimeterai dengan Sultan Hussein Johor dan Temenggong Abdul Rahman. Melalui perjanjian ini, pihak Inggeris mula bertapak di Singapura dan menjadi raja yang bermaharalela memerintah pulau itu. Kuan Yew memilih detik sejarah ini sebagai pembuka buku sejarah Singapura.


Untuk mencapai niat dan hasratnya, Kuan Yew sanggup melakukan apa saja. Sebagai contoh, Kuan Yew sanggup bekerjasama dengan puak pro-komunis yang meresapi PAP apabila dia bekerjasama dengan pemimpin komunis bernama Lim Chin Siong untuk menumbangkan kerajaan David Marshall, seorang Yahudi yang anti-komunis. David Marshall adalah pengasas parti Labour Front yang ditubuhkan pada bulan Julai 1954 manakala Kuan Yew menubuhkan PAP pada November 1954.


David Marshall membentuk sebuah kerajaan campuran antara Labour Front dengan UMNO dan MCA pada 6 April 1955 selepas menang tipis dalam pilihan raya pertama. Bagaimanapun, dia meletak jawatan pada 6 Jun 1956 setelah rundingan di London untuk membentuk sebuah kerajaan sendiri sepenuhnya dan tidak dibawah seliaan Inggeris menemui jalan buntu. Inilah yang dinanti-nantikan oleh Kuan Yew kerana dia sedar pengganti David Marshall, iaitu Lim Yew Hock adalah seorang pemimpin (MCA) yang lemah.


Mulai 1959, PAP mula berkuasa sepenuhnya di Singapura dan terus memerintah sehingga ia dikeluarkan daripada gugusan Malaysia. Sejak berkuasa, Kuan Yew dan PAP melakukan apa saja yang mungkin untuk menindas dan meminggir orang Melayu. Perkampungan-perkampungan Melayu seperti Pasir Panjang, Telok Blangah, Bukit Timah, Bedok, Kampung Ubi, Kampung Dusun, Seranggoon, Geylang Serai, Kampung Glam, Paya Lebar dan lain-lain, diroboh dan dikosongkan untuk membina rumah pangsa atau binaan-binaan lain dan orang Melayu ditempatkan di rumah-rumah pangsa HDB mengikut arahan pemerintah. Mereka diasing-asingkan supaya tiada satu kawasanpun yang akan mempunyai majoriti penduduk terdiri daripada orang Melayu. Ia bertujuan untuk menjamin sokongan politik berterusan kepada PAP. Episod ini menandakan permulaan peminggiran secara paksa yang dilakukan ke atas orang Melayu.


Walaupun Bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Singapura sebagai Bahasa Kebangsaan, ia sebenarnya terpinggir kerana bahasa Inggeris dijadikan bahasa pentadbiran, sekolah Melayu, sekolah Cina dan sekolah Tamil ditutup dan hanya sekolah beraliran Inggeris dibenarkan. Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil dijadikan bahasa pilihan kedua di peringkat sekolah.


Untuk memasuki pasaran pekerjaan, selain bahasa Inggeris, bahasa Mandarin menjadi pra-syarat universal dan dengan sendirinya bahasa Melayu terus terpinggir.

Dalam perkhidmatan negara atau kerahan tenaga, anak Melayu dilarang daripada memasuki tempat-tempat tertentu yang strategik dan canggih. Anak Melayu hanya layak dikerah berkhidmat dalam pasukan pertahanan awam dan pasukan polis dan sedikit sahaja dalam angkatan tentera, itupun dalam kor atau regimen yang dikira selamat untuk mereka masuki.

Sehingga saat ini, tidak seorangpun anak Melayu yang memegang jawatan penting atau tinggi dalam sektor awam (pemerintah) atau badan-badan berkanun.

Orang Melayu yang sanggup bersekongkol dengan PAP dan dipilih sebagai wakil rakyat, itupun dalam kawasan undi berkumpulan, hanya layak dilantik menjadi menteri yang menjaga alam sekitar, peparitan, kumbahan, kebajikan dan masalah berkaitan dadah. Jawatan-jawatan penting dikhaskan kepada bukan Melayu.


Jika pemberhentian pekerja terpaksa dilakukan oleh sektor perkilangan atau industri, pekerja pertama yang mesti diberhentikan hendaklah orang Melayu. Bilangan penganggur di kalangan orang Melayu adalah yang paling tinggi walaupun mereka memiliki kelulusan dan kemahiran tertentu.


Untuk memastikan ratio bukan Melayu dikekalkan pada paras sekarang, kemasukan secara beramai-ramai pendatang dari China, Taiwan, Hong Kong diberi galakan sedangkan penghijrahan orang Melayu dari Malaysia dikawal ketat.


Inilah ketidakadilan dan peminggiran yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew dan PAP ke atas orang Melayu, masyarakat peribumi Singapura.


Apa yang dilakukan oleh pemerintah Singapura dilihat sebagai satu bentuk pemerintahan ala kuku besi atau "authoritarianism" iaitu pengamalan demokrasi bukan liberal dan demokrasi berprosidur dan bukan demokrasi sebenarnya.


Reporters Without Borders meletakkan Singapura di tangga ke-140 daripada senarai 167 buah negara dalam "2005 Worldwide Press Freedom Index". Ia juga menuduh PAP mengamalkan penapisan yang ketat dan keterlaluan, mempengaruhi urusan Jabatan Pilihan Raya dan menjadikan pengambilan tindakan sivil di mahkamah terhadap pengkritik kerajaan sebagai satu senjata untuk melemahkan pembangkang. Kebebasan bersuara dibataskan.


Singapura kini mempunyai penduduk berjumlah 4.35 juta (sehingga Jun 2005) terdiri daripada 76.8 peratus Cina, 13.9 peratus Melayu dan 7.9 pratus India. Malangnya, ia tidak diperlihatkan dalam kabinet Singapura dimana hanya seorang Melayu bertaraf menteri, ia juga tidak kelihatan dalam sektor awam apatah pula dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).


Demikianlah sedikit sebanyak yang dapat saya perkatakan mengenai peminggiran Melayu di Singapura. Saya dapat berbuat demikian hasil pengalaman hidup semasa menetap dan bertugas di republik itu dalam tahun 1990-an dan dapat merasai apa yang dirasai oleh sebilangan besar orang Melayu Singapura.

Sumber dipetik dari blog : Keris7Lok
Kulaan Niring Napa Takurihing

No comments: